Untuk Tempahan Karipap Frozen/Panas, Sila Hubungi

Untuk Tempahan Karipap Frozen/Panas, Sila Hubungi

Monday, November 24, 2014

Dugaan berniaga ketika hujan kali pertama di lokasi baru

Hari Isnin bermula dengan dugaan gas memasak habis semasa sedang seronok memasak inti karipap. Dugaan di pagi hari, kenalah ke kedai berhampiran untuk tukar tong gas. Terbuang waktu hampir sejam. Apa nak buat, dah memang gas tu nak habis. Mana ada orang guna tong gas untuk memasak tapi tak habis2kan. Gurau je.

Hampir pukul 1 baru dapat buka gerai selepas makan dulu di restoran Haji Tapah dengan sahabat. Kena ambil tenaga dulu sebelum mula bekerja. Tak mahu macam semalam yang dapat makan selepas selesai niaga pada pukul 4 lebih.

Baru nak mula niaga ada pula seorang lagi sahabat tiba yang rajin nak menolong menggorengkan karipap. Bukan dia ambil upah pun tetapi saja seronok nak membantu saya. Syukur dikelilingi sahabat yang ringan tulang membantu sekali-sekala merancakkan lokasi niaga.

Tiba-tiba hujan turun semasa sedang rancak berniaga sekitar pukul 1.45 petang. Cepat-cepat sahabat saya tolong pasangkan penutup platik jernih di depan dan belakang khemah niaga. Ok lah sebab hujan saja tanpa tiupan angin yang kuat. Tapi hujannya sekejap saja sekitar 10-15 minit.

Ada juga customer yang datang membeli kerana mendapat maklumat dari rakannya, "kawan saya kata karipap dibuat dan digoreng di gerai!"

Terima kasih pada rakannya yang tolong promote gerai saya ni. Hanya Allah yang dapat balas kebaikannya.

Ada juga yang bertanya pada saya "jual karipap je?". Ye! Saya hanya menjual karipap sahaja, tiada kuih lain. Jika ada pun hanya sekali-sekala sahabat lain menghantar donutnya untul dijual.

Pecah rekod hari ini kerana menerima 4 orang pelanggan yang merupakan pekerja dari restoran di depan gerai; restoran Haji Tapah. Mereka bergilir-gilir menggunakan payung untuk ke gerai saya. Masa tu dalam pukul 3.30 petang hujan turun semula beserta angin. Saya terpaksa berhenti menggoreng seketika kerana tempias hujan terkena ke dalam kuali menggoreng. Terpaksa tutupkan dengan plastik buat seketika.

Dalam keadaan hujan pun masih ada 3-4 biji kereta yang berhenti di depan gerai membeli karipap. Semuanya merupakan regular customer saya. Termasuklah tokey warung nasi lemak di Bangi Lama, warungnya betul-betul di hadapan kedai basikal. Hampir 3 hari berturut dia membeli karipap sardin.

Hari ini tokey restoran Hamidi pun sudi singgah membeli karipap. Nak makan karipap dengan isteri katanya. Romantisnya. Karipap pengikat kasih sayang, jika semalam karipap mampu buat orang serius jadi tersenyum.

Ada juga 2-3 sahabat yang mengulang lagi membeli karipap. Terima kasih Kak Zah, Ina, Kak Melati yang tak jemu berkunjung ke gerai saya. Eton dan Fiza pun tetap order walau sedang berada di rumah, kirim melalui anak-anak.

Customer setia
Inilah dia customer saya yang paling setia membeli setiap hari sejak hari pertama saya berniaga. Dia tidaklah membeli banyak, kadang seringgit atau dua ringgit je. Dia menolak bila saya offer karipap frozen ; nak panas2 yang saya goreng katanya. Malas nak goreng di rumah.

Yang seronoknya bila ada customer baru ni memang agak famous di Bandar Seri Putra iaitu pemilik CT Ayuz Sweet Bakery datang membeli. Bolehlah saya menuntut ilmu buat donut lepas ni.

Lambat habis hari ni dalam pukul 6.15 petang. Mungkin sebab hujan yang lebih lama bawa ke malam. Hari ini saya lebihkan buat karipap sardin. Alhamdulillah, syukur habis belaka. Pun masih ada yang bertanya nakkan karipap semasa saya sedang sibuk berkhemas untuk pulang. InsyaAllah kita jumpa esok pula ye.

Ada bocor khemah yang perlu dibetulkan, ada penutup plastik yang perlu dipasang rapi ; semuanya untuk sebagai persediaan jika hujan lagi esok. Setiap masalah perlu cari penyelesaian atau perlu cari idea untuk mengurangkan risikonya.

Gara-gara hujan, terlupa nak singgah kedai Ban Soon Bandar Seri Putra untuk membeli kentang. Terpaksa keluar ke kedai dekat rumah di Teras Jernang selepas maghrib. Moga urusan esok juga lancar. Amin.

Sunday, November 23, 2014

Karipap panas Teras Jernang cuti hari Sabtu

Hari jumaat ada niaga tapi tak sempat nak menaip entry. Alhamdulillah, bisnes karipap tetap habis laku seperti hari2 sebelumnya. Cuma adalah 5-6 pcs karipap yang reject sebab bocor semasa menggoreng. Biasanya karipap sardinlah. Tak mengapalah, ada ilmu yang dipelajari. Jangan buat karipap sardin semasa intinya masih suam2. Adat berniaga memang adakalanya rugi. Allah menduga kerana ada hikmah di sebaliknya.

Mengelim karipap ambil masa purata dalam 20 saat

Buat adunan lebih pun habis dalam pukul 4 petang juga, bermula dalam pukul 12.00 tengahati. Tak ada juga rezeki untuk customer yang balik lepas waktu pejabat. InsyaAllah saya usahakan buat lebih.

Hari Sabtu saya bercuti dari berniaga. Cuci semua peralatan niaga seminggu sekali seperti kain alas, kain lap meja, dapur dan sebagainya. Peralatan niaga perlu bersih supaya karipap juga bersih. Makanan yang dijual jadi darah daging, itu amanah yang saya perlu jaga.

Saya sambung berniaga pada hari Ahad. Pukul 12.30 tengahari baru buka tapak niaga dan berakhir pada pukul 4.30 petang. Hari paling sibuk kerana hampir tak dapat nak duduk dan makan sebab berterusan mengelim karipap. Customer datang bertalu-talu. Nyaris ada seorang sahabat yang membantu melayan customer.

Dah dua hari tokey restoran D'Laden datang nak beli karipap tapi selalu tak sempat sebab dah habis. Hari ni dia hantar anaknya wakil membeli, diborong terus sebanyak 32 pcs. Ramai tetamu agaknya. Terima kasih kak Siti, berbesar hati bila sifu bakery/restoran membeli karipap panas Teras Jernang.

Ada juga customer yang mulanya beli RM4 karipap kentang. Selepas sejam dua datang semula membeli RM2, tapi karipap ayam je lah sebab karipap kentang dah habis. Tersenyum dia bila sahabat saya menegur "mesti sedap tadikan?" sebab sebelum tu serius wajahnya semasa kali pertama membeli.

"Akak dah pindah sini ke? Patut saya cari kat jalan bawah sana tak ada. Saya ingatkan akak balik semula Teras Jernang. Cari kat sana pun tak ada juga!", customer sorang yang lain pula komplen. Tu dia aihhh... Sampai camtu dia cari karipap panas Teras Jernang. Terima kasih customer yang Ina namanya atas kesetiaanmu.

Ada satu pasangan warga emas ni hampir setiap hari membeli karipap sardin. Romantis je berdua beriringan ke restoran Haji Tapah pula minum teh tarik dengan karipap yang dibeli.

Dah dua kali juga boss restoran Haji Tapah membeli karipap di gerai saya. Kalau dah dua kali tu tanda dia suka dengan karipap panas Teras Jernang. Alhamdulillah, syukur. Habis lagi semua karipap yang saya pada hari Ahad ini.

Thursday, November 20, 2014

Kuantiti karipap dua kali ganda pun tak cukup!

Terlewat sedikit bermula niaga hari ini dalam pukul 12 tengahari. Ada sahabat yang WhatAps bertanya dalam pukul 12.03 tengahari "Hallo Bee, where are u..... i dah smpi kat kedai pkl 11, tapi u x der".

Ha..ha..kesian sahabat mak buyung semalam cari saya tak ada lagi pagi ni. Memang sepatutnya pukul 11 pagi dah mula niaga tetapi jadi terlewat kerana menyiapkan tempahan karipap frozen customer yang tinggal di flat Melati, flat berhampiran tempat saya berniaga dan tempahan rakan suami di tempat kerjanya.

Baru niaga hari ketiga di lokasi baru dah lambat-lambat. Lagi pun hari ini saya turut tambah kuantiti karipap sekali ganda lagi daripada yang biasa. Penambahan 100% orang kata. Jenuh menguli tepung di rumah tapi saya gembira dan bersyukur. Saya nak lebih ramai orang suka dan dapat merasa karipap panas Teras Jernang.

Baru saja nak memanaskan minyak di kuali, dah ada customer yang datang nak membeli. Repeat customer rupanya, gembira hati. Itu tandanya dia suka dengan kualiti karipap panas Teras Jernang. Saya tanya boleh ke dia tunggu saya menggoreng. Tak ada masalah katanya. Terus saya buat karipap ayam dulu seperti permintaan customer.

Hari ni tak sempat nak gantung 2 bunting iklan karipap panas Teras Jernang di kiri kanan gerai. Bersilih ganti customer datang. Saya letak saja karipap yang baru digoreng, terus ada customer yang datang membeli. Alhamdulillah! Walau pun dah macam lipas kudung saya mengelim karipap satu persatu tapi saya gembira.

Donut
Hari ini ada sahabat yang mengirim donut di meja niaga untuk dijual sama.

Dalam pukul 3.00 petang, stok karipap sardin dah habis. Diikuti dengan karipap kentang yang habis sekitar pukul 3.35 petang. Ada sorang pakcik bertanya kenapa saya tak buat lebih banyak lagi. Dia suka karipap sardin saya. Terkejut dia bila saya kata hari ini kuantiti bertambah jadi double berbanding hari sebelumnya. InsyaAllah saya cuba buat lebih lagi. Kesian pakcik tu tak dapat merasa karipap sardin hari ini. Dia tak gemar karipap daging atau ayam.

Dan semua karipap habis pada pukul 4.30 petang. Customer terakhir saya rupanya memang selalu membeli karipap saya semasa saya berniaga di Teras Jernang dulu. Alhamdulillah, habis lagi hari ini. Syukur dengan rezeki Allah.

Ada sahabat yang mengirim WhatAps dalam group AIM Seri Putra "Bee aku lalu xdi ko tengah sibuk. Hebat kawan koi... hihi.. dah habis lum..".

Tambah sorang lagi "Moga bertambah murah rezki smua...". Aminnnnn.... terima kasih atas doa dan sokongan para sahabat AIM.

Semua inti karipap dah habis

Sementara mengemas nak tutup gerai, tiba-tiba datang pula sebiji kereta merah di depan gerai. Kak Siti tokey restoran D'Laden rupanya. Pun bertanyakan karipap. Maaf sangat-sangat kak Siti sebab hari ni seketul pun tak bersisa. Esok dia cop nak 10 pcs! InsyaAllah kak! Kak Siti punya pasal, saya akan sediakan tempahan istimewa ni. Kak Siti yang tak lokek ilmu berniaga dengan saya.

Minta maaf sangat kerana nampaknya lagi sekali customer yang balik kerja selepas pukul 5 petang tak dapat membeli karipap panas hari ini. Lebih-lebih lagi customer tetap pemilik kereta Saga blue black tu.. he..he.. Mungkinkah saya akan tambah lagi kuantiti, InsyaAllah moga dipermudahkan usaha saya. Atau boleh tempah karipap frozen ke nombor HP 011-137512636.

Wednesday, November 19, 2014

2 jam saja berniaga, kecoh lokasi niaga

Awal pagi saya menyiapkan tempahan cucur badak dari seorang customer di Bukit Mahkota. 40 pcs yang ditempahnya. Lepas tu baru saya mula uli tepung untuk persediaan niaga karipap.

Selepas menghantar tempahan cucur badak, saya sarapan dulu dengan 2 orang sahabat AIM (Amanah Ikhtiar) Seri Putra di restoran Haji Tapah.

Pukul 11.00 dah siap semua peralatan nak berniaga. Baru 5-6 biji karipap sedang digoreng dalam kuali, ada customer yang sudah bertanya nak beli karipap.

2 orang sahabat tadi suka nak membantu. Salah sorang tu kata nak lepas gian berniaga katanya. Jadi dia tolong saya goreng karipap. Dia biasa dapat tempahan karipap pusing.

Yang sorang lagi beramah mesra dengan customer tadi sementara tunggu karipap siap digoreng. Jiran setaman dia rupanya. Makin rancaklah berbual.

Sambil niaga, sempat sahabat yang ramah WhatAps ke seorang sahabat mak buyung gambar cucur badak. Bertanya pada sahabat mak buyung kalau mengidam nakkan cucur badak. Sempat juga dia mengirim gambar saya berniaga ke group WhatAps AIM Seri Putra.

Cucur badak Aleya Frozen
Tak sampai 15 minit sahabat mak buyung tiba ke lokasi niaga dengan menunggang motorsikal. Brutal sungguh sahabat yang sarat mengandung minggu ke 37 ni. Nakkan cucur badak punya pasal, tak menyempat sahabat ramah nak hantar ke rumah.

Mulut sahabat mak buyung memang riuh. Makin riuh lokasi niaga karipap panas Teras Jernang. Bila customer datang je, laju-laju dia yang nak ambil order. Memang senang sangat kerja saya hari ini. Ada 3 orang sahabat yang sama-sama ahli AIM. Bayangkanlah ada 4 orang di khemah berniaga berukuran 8' x 8'.

Saya kelim karipap, sahabat karipap pusing menggorengnya, sahabat mak buyung melayan customer dan sahabat ramah jadi promoter menghulurkan kad nama Aleya Frozen.

Ini baru hari kedua saya berniaga di lokasi baru. Ada repeat customer yang semalam membeli karipap, hari ini mengulang lagi. Ada customer yang baru saja beli, tiba-tiba datang lagi beli. Tak cukup katanya.

Bayangkan anda di tempat saya? Gembira, bersyukur sebab tak sangka ramai sahabat yang seronok nak turut serta dalam urusan niaga hari ini. Dan ramai customer datang membeli hingga karipap habis hanya dalam masa 2 jam berbanding semalam ambil masa 4 jam.

Dah last minit pun ada lagi sahabat yang kali ini Pengerusi AIM pula yang datang. Nyarislah ada lagi sikit karipap untuk dia. Bungkusan terakhir. Terkejut dia bila tengok kami sahabat-sahabat ahli AIM Seri Putra seolah berkumpul di situ.

Memang meriah berniaga hari ini. Hari ini dalam sejarah rasanya. Terpaksalah saya mengirim mohon maaf pada customer di page facebook saya sebab tiada karipap lagi untuk sebelah petang. Karipap dah habis seawal pukul 1 petang.

Sedang berkemas nak tutup niaga dah

Nampaknya saya kena uli lebih tepung untuk karipap esok. Tambahkan lagi sedikit kuantiti.

Alhamdulillah atas rezeki yang Allah beri hari ini. Alhamdulillah kerana segala urusan dipermudahkanNya.

Tuesday, November 18, 2014

Lokasi niaga baru Karipap Panas Teras Jernang

Hari ini baru mula berniaga di lokasi baru. Bolehlah mula niaga awal sikit. Dalam pukul 10 lebih datang siapkan segala yang perlu. Jadi pukul 11.00 pagi dah boleh mula niaga.

Tapak baru berhadapan dengan Restoran Haji Tapah, Bandar Seri Putra. Boss restoran pun kata ok je dengan lokasi tu dan siap offer bekalan elektrik untuk lampu lagi kalau berhajat nak niaga sampai malam. Tapi saya niaga sampai pukul 6.00 petang je atau jika karipap habis lebih awal, maka balik awal le.

Senang nak order nescafe ais
Alhamdulillah cuaca baik hari ni untuk berniaga hingga pukul 6.17 petang tadi. Lokasi bawah pokok, terasa redup sikit.

Pandangan dari restoran

Pandangan dari jalan besar
Tadi ada regular customer yang tanya kenapa saya pindah sini dari lokasi sebelum ni berhampiran flat Dahlia. Dia sangkakan saya tak berniaga hari ni. Jika di lokasi lama saya tak boleh nak mula niaga awal sebab kena bergilir tapak dengan rakan yang berniaga nasi lemak dan kuih-muih dari awal pagi hingga pukul 1 petang. Pukul 2 petang barulah giliran saya pula.

Ada karipap sardin, ayam, kentang dan daging

Singgah le, jangan malu-malu.
Rasa seronok pula niaga di lokasi baru hari ini sebab lebih ramai yang singgah membeli. Kebanyakannya customer baru. Mungkin ada customer lama yang belum tahu saya berpindah ke lokasi baru. Sejak berniaga di Bandar Seri Putra ni saya memang ada customer yang hampir setiap hari singgah mengulang membeli karipap. Syukur bila orang suka hasil masakan kita ni.

Moga ramai yang suka dengan rasa dan kualiti karipap panas Teras Jernang. InsyaAllah! Setiap hari rasa, saiz dan kualiti karipap tetap sama. Bak kata Kak Liza AB, "standard kena jaga supaya orang setia dengan karipap kita! Jangan hari ni tak pedas tapi esok pedas. Jangan hari ni rangup tapi esok lemau pulak!".


Lokasi baru... cari Restoran Haji Tapah dulu.

Friday, November 7, 2014

Karipap Telur

Karipap telur dari Aleya Frozen. Cuba sekali pasti nak lagi!

Karipap Telur
Sebiji telur puyuh di dalamnya bersama inti kentang.

Hubungi kami di 011-37512636 untuk sebarang pertanyaan dan tempahan.
Terima kasih.